“BAGI wanita lain yang ditinggalkan suami sebegitu lama mungkin akan mengambil tindakan memohon cerai. Namun tidak bagi pelakon Wan Nor Azlin yang masih setia menunggu suaminya. Katanya, “Saya tidak datang dari keluarga yang bercerai-berai. Apatah lagi perkahwinan kami dulu atas suka sama suka. Saya boleh memaafkan dan menerima dia (suami) kembali tetapi dengan bersyarat." Ada yang cuba mendekati Wan Nor Azlin
‘Saya masih isteri Yazli’
“SAYA masih isteri orang dan tidak terfikir langsung untuk mencari pengganti walaupun ada yang cuba untuk mendekati. Bagi saya perkahwinan adalah sekali seumur hidup. Saya juga tidak datang dari keluarga yang bercerai-berai. Apatah lagi perkahwinan kami dulu atas dasar suka sama suka dan bukan pilihan keluarga.
“Saya boleh memaafkan dan menerima dia balik tetapi dengan bersyarat. Saya mahu dia berubah dan kembali bertanggungjawab terhadap keluarga seperti mana saya kenal dia suatu masa dulu. Jika tidak, biarlah saya sahaja yang menjaga anakanak walaupun sukar macam mana sekalipun” tegas Wan Nor Azlin ketika ditanyakan pendiriannya terhadap suami, Mohd Yazli Yaacob yang telah menghilangkan diri sejak beberapa bulan lalu.
Berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Itu jugalah yang cuba diperkatakan oleh dramatis popular ini apabila bercerita tentang kesengsaraan yang dilaluinya bersama anak-anak setelah ditinggalkan suaminya. Demi menyara diri dan anak-anak juga, Wan Nor Azlin kini kembali aktif berlakon setelah lama meninggalkan kerjaya yang pernah mengangkat namanya suatu masa dulu itu. “Kalau diikutkan, saya mahu bersara terus sahaja. Apatah lagi saya kini sudah bertudung. Namun, hanya ini kerja yang saya boleh buat untuk sara dan bagi makan pada anak-anak setelah ditinggalkan suami. Nasib baik juga ada kawan-kawan yang faham situasi saya dan tolong bagi kerja.
“Buat masa sekarang, saya ambil saja apa sahaja tawaran yang datang. Malah tawaran yang jauh-jauh sampai ke Sarawak pun saya terpaksa ambil. Apa yang penting, rezeki itu untuk anak-anak. Tapi, saya akan menolak untuk tawaran yang memerlukan saya buka tudung. Zaman itu sudah berlalu buat saya,” katanya lagi yang ditemani anak bongsunya ketika menghadiri majlis ramah mesra para pelakon Comel dan Segalanya Ku Terima di Sri Pentas, TV3 baru-baru ini.
Usung anak ke lokasi
Setiap kali bercerita tentang anakanaknya, wanita yang luarnya kelihatan begitu tabah ini hampir sahaja menitiskan air mata. Masakan tidak, anak-anaknya yang masih kecil itu begitu rapat dengan si bapa sebelum ini. Tiba-tiba terpaksa berdepan dengan hakikat sebuah kehilangan atas sebab yang tidak munasabah untuk mereka terima.
“Saya sangat sedih melihat keadaan anak-anak. Kalau nak kata menangis tu, dah kering air mata saya menangis untuk semua ini. Mereka terlalu rindukan bapa mereka walaupun telah ditinggalkan dengan cara yang cukup tidak bertanggungjawab. “Anak bongsu saya ini bila jumpa dengan lelaki yang lebih kurang sebaya dengan bapa dia, mesti dia nak baik-baik. Saya tahu dia rindukan bapanya, tapi apa yang boleh saya buat?,” luah Wan Nor Azlin menahan sebak.
Menurut pelakon ini juga, setiap kali dia keluar bekerja, anak-anak terpaksa ditinggalkan di bawah jagaan bapanya di Keramat. Namun, sesekali anak-anak turut diusung ke lokasi kerana tidak mahu menyusahkan orang lain. “Saya bersyukur sangat-sangat kerana mereka yang dekat dengan saya banyak membantu. Bapa saya terutamanya terlalu banyak berkorban untuk saya dan anak-anak. Mujur anak-anak juga memahami situasi saya walaupun usia mereka terlalu muda untuk mengerti.
Bayangkanlah, setiap kali saya menangis merekalah yang memujuk dan memberi semangat kepada saya supaya kuat,” katanya lagi yang turut bersyukur apabila tidak lagi diganggu ‘Ah Long’ seperti mana yang pernah dihadapinya beberapa bulan lalu.












0 responses to "HANGAT DAN SENSASI"