‘Rumah sampah’ kediaman 4 beradik
![]() |
Rumah mereka dapat diibaratkan seperti ‘rumah sampah’ kerana segenap sudut rumah mereka dipenuhi sampah. Mereka bukan hanya dihimpit kemiskinan tetapi malang bagi anak-anak ini kerana kedua ibu, bapa mereka telah dijangkiti HIV/AIDS, angkara dadah.
Menurut Nurhazwani, bapanya, Azman Md Zain, 38, hanya bekerja sebagai pemungut barang terbuang untuk menyara kehidupan mereka empat beradik. Sebaliknya ibu mereka, Rahmah Man, 37, telah meninggal dunia tahun lalu akibat dijangkiti HIV/AIDS.
“Sekarang, ayah saya ditahan di hospital kerana penyakit buah pinggang, selain turut dijangkiti penyakit itu. Sebagai kakak sulung, saya yang bertanggung jawab menjaga adik-adik saya yang masih kecil. Tugas-tugas saya selain menguruskan adik-adik, saya perlu memasak untuk mereka pada setiap hari,” katanya.
Biarpun setiap hari, keluarga ini hanya menjamah nasi putih, telur dan ikan goreng, mereka adik-beradik tetap bersyukur dengan apa yang Tuhan kurniakan. Apa yang ada di rumah, Nurhazwani akan hidangkan untuk adik-adiknya. Malah tidak pernah sekalipun, mereka sekeluarga merungut akan nasib yang menimpa mereka.
“Saya bersyukur walaupun kehidupan kami kurang sempurna tetapi saya dan adik-adik masih dapat belajar. Kami mendapat bantuan makanan daripada pihak sekolah, termasuk yuran sekolah. Walaupun nasib kami sekeluarga kurang baik, kami tidak pernah disisihkan. Kami dilayan seperti pelajar lain dan rakan-rakan juga tidak pernah pinggirkan kami,” katanya.
Makan, tidur atas sampah prihatin JIKA rumah orang lain dibina untuk keselesaan penghuninya, berbeza dengan kediaman empat adik-beradik ini. Rumah yang dihuni mereka didapati ditimbuni barangan terbuang termasuk sampah-sarap yang dikutip untuk dijual semula. Di setiap sudut rumah dipenuhi pelbagai barangan terbuang.
Paling sedih mengenangkan keadaan kanak-kanak itu apabila mereka terpaksa tidur, makan dan duduk di atas timbunan sampah saban hari. Jelas Nurhazwani, selain ibu bapa mereka menderita HIV/AIDS, adiknya, Nurul Shafikah turut dijangkiti HIV/AIDS dan terpaksa berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan menjalani pemeriksaan. Manakala dirinya dan adik-adik lain bebas penyakit tersebut. Namun begitu, mereka tetap dijangkiti penyakit kudis yang serius.
“Setelah emak meninggal dunia, doktor minta kami semua menjalani pemeriksaan di hospital. Dari situ, doktor dapat kesan bahawa hanya adik perempuan saya yang dijangkiti. Kami pula dijangkiti penyakit kudis di seluruh badan,” katanya. Sementara itu, Majlis Ketua Kampung (MKK) Kampung Tepi Laut, Zakaria Ibrahim, kesusahan dan keperitan hidup yang dialami kanak-kanak itu telah dimaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan susulan.
Menurutnya, arwah ibu kanak-kanak itu pernah menerima sumbangan bulanan daripada JKM sebelum ini dan mungkin sumbangan tersebut boleh dipindahkan ke atas nama suaminya pula suatu hari kelak.













0 responses to "KISAH MASYARAKAT"