17.48 | Posted in

Bisnes di rumah menguntungkan

KERJAYANYA dalam bidang IT tidak menghalang Norazlinda Mohd Nor untuk melaksanakan minatnya ke arah yang lebih komersial. Biarpun terpaksa bijak membahagikan masa antara kerjaya dan minat, namun Norazlinda tidak pernah jemu dengan apa yang dilakukannya setiap hari.

Jika bukan kerana minat, mungkin sukar untuk seseorang melakukan kerja seni yang remeh ditambah pula dengan keletihan bekerja seharian di pejabat. Berlainan dengan Norazlinda, kerja-kerja memintal bunga untuk hantaran sudah sebati dengan jiwa hinggakan jika tidak dilakukan akan menimbulkan perasaan gelisah buat dirinya.

“Dulu saya buat sekadar ingin mengisi masa lapang sahaja. Tak pernah terlintas pun nak bergiat aktif dalam bisnes ini. Bila ada kawan yang ingin bertunang atau berkahwin, saya tolong la. Tapi apabila melihat sambutan yang diterima amat menggalakkan, ianya membuatkan saya terfi kir bisnes ini sebenarnya menguntungkan.

“Pada bulan Disember 2007, saya mula menjalankan bisnes ini secara serius dengan menggunakan nama Nazurin Creation. Walaupun hanya menjalankan bisnes di rumah, namun ianya tidak menjejaskan bilangan pelanggan yang membuat tempahan,” katanya. Bercerita tentang penglibatannya dalam bidang ini, Norazlinda menerangkan kebolehan yang ada dalam dirinya untuk reka cipta gubahan hantaran serta pelbagai jenis bunga dulang hanya bergantung kepada minat sahaja kerana sebelum ini dia tidak pernah menghadiri mana-mana kursus seni dan kreativiti.

“Saya memang suka tengok benda-benda yang cantik dan unik. Kalau dulu, dengar sahaja kawan nak kahwin, saya yang jadi teruja. Tak sabar nak buatkan hantaran untuk mereka. Saya juga rajin membelek buku-buku yang berkaitan serta membuat tinjauan ke kedai-kedai yang menjual barangan hantaran bagi mendapatkan idea baru. Tak nak la nanti rekaan bunga yang saya buat ketinggalan zaman.

Ditanya mengenai cabaran yang dihadapinya sepanjang menjalankan bisnes ini, Norazlinda mengakui walaupun bisnesnya berjalan secara kecil-kecilan, dia tetap tidak terkecuali menerima dugaan. “Dalam bisnes pasti ada persaingan. Bagi saya, soal persaingan tu memang kita tak boleh nak elakkan lagi. Apa yang penting, cara kita atasi persaingan itu.

Kita kena bijak mengatur strategi serta memberi perkhidmatan terbaik untuk pelanggan. Jika pelanggan berpuas hati, mereka secara tidak langsung akan membantu kita melakukan promosi mulut ke mulut. “Selain itu, pernah juga saya mendapat pelanggan yang ingin menukar warna tema hantaran yang ditempah di saat-saat akhir.

Bila kita berhadapan dengan situasi seperti ini, jangan cepat melatah. Bincang elok-elok dengan pelanggan dan nyatakan kesulitan yang kita alami jika mereka ingin menukar warna hantaran tersebut. Insya-Allah mereka akan faham,” katanya yang turut dibantu oleh ibunya, Raslaini Mat Jan dan adiknya, Noredayu Mohd Nor.
Category:
��

Comments

0 responses to "WANITA @ BACARIA"