Tampilkan postingan dengan label Bacaria. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Bacaria. Tampilkan semua postingan
13.20 | Posted in

Modal sebilah kapak, sebuah motosikal


SEPANTAS kilat, dua perompak bermotosikal berjaya melarikan wang tunai daripada mangsa. Mangsa yang dipilih pula ialah golongan wanita yang baru sahaja mengeluarkan wang dari bank. Lebih memeranjatkan, perompak ini juga dikatakan mampu melakukan tiga rompakan dalam sehari, menggunakan taktik yang sama. Hakikat kejadian diakui sendiri oleh dua mangsa rompakan nekad ini. Wartawan BACARIA, ASHRAF MANAF DAN IZRA ABD RAHMAN mengupas isu pecah dan rompak yang semakin berleluasa kini.



Rompakan ‘berani mati’
Pecah cermin kereta, rembat beg

SEPANTAS kilat, dua perompak bermotosikal berjaya melarikan wang tunai ribuan ringgit daripada mangsa. Mangsa yang dipilih pula ialah golongan wanita yang baru sahaja mengeluarkan wang dari bank. Lebih memeranjatkan, perompak yang masih bermaharajalela ini mampu melakukan tiga rompakan sehari, menggunakan taktik yang sama. Hakikat kejadian diakui oleh dua mangsa rompakan nekad ini yang enggan identiti mereka didedahkan.

Mengimbas cara bagaimana kedua-dua mangsa ini dirompak, mereka tidak menolak kemungkinan mereka dirompak oleh kumpulan perompak yang sama. Malah kejadian itu juga berlaku di kawasan yang sama iaitu di sekitar Bangsar. Sama ada melakukannya kerana terdesak, atau sememangnya perompak itu sering menjadikan hasil rompakan sebagai sumber rezeki, apa yang pasti teknik dan taktik rompakan yang dirancang dengan teliti itu menyukarkan mangsa untuk mengenal pasti dan mengecam identiti mereka.

Berpeluang menemuramah dua mangsa rompakan nekad ini, tidak banyak yang mampu diceritakan mereka kerana rompakan itu berlaku kurang daripada sepuluh saat. “Macam tak percaya! Yang saya tahu, cermin kereta saya tibatiba dipecahkan seorang lelaki dan beg tangan saya terus dibawa lari,” kata mangsa pertama, seorang wanita berusia 32 tahun. Mengimbas peristiwa hitam itu, mangsa sebelum itu telah mengeluarkan wang tunai dari bank sebanyak lapan ribu ringgit.

Memandangkan jumlah wang agak banyak dan dia pula berseorangan, dia sentiasa berwaspada dan peka dengan kawasan sekeliling kerana bimbang dirompak atau diragut. “Bila sudah masuk kereta, saya terus kunci pintu dan letak beg tangan di celah tempat duduk. Lega sedikit rasanya kerana tak ada kejadian buruk berlaku sepanjang saya berjalan keluar dari bank ke kereta,” katanya.

Malah katanya lagi, sebelum berhenti di lampu isyarat pun dia masih memandang ‘side mirror’ dan cermin pandang belakang, kalau- kalau ada yang mengekori dan berniat tidak baik, tetapi mangsa mengaku tidak melihat sesiapa yang mencurigakan.

“Bukan saya rasa tak sedap hati, tetapi sekadar berjaga-jaga,” ceritanya lagi. Namun, sikap waspadanya itu sia-sia sahaja kerana mangsa ruparupanya telah diekori dua perompak bermotosikal. Berbekalkan hanya sebilah kapak dan menghentak sekali sahaja pada cermin kereta mangsa, kedua perompak licik tersebut berjaya mengambil beg tangan milik mangsa dan habuan yang diterima mereka tentunya wang tunai bernilai ribuan ringgit.

“Walaupun cuma dua orang, tapi mereka mahir dan pantas. Memang profesional. Ketika penunggangnya memberhentikan motosikal di sebelah kanan kereta saya, yang seorang lagi pula terus pecahkan cermin kereta dan merompak,” katanya. Ketika laporan polis dibuat, polis mengesahkan ada menerima laporan rompakan menggunakan taktik sama, pada hari yang sama.
Category:
��
17.56 | Posted in


Air Zam-Zam Tiruan

“AIR yang dikatakan air zam-zam itu dijual tanpa sebarang fakta pada botolnya. Yang ada hanyalah tulisan Air Zam-Zam berserta gambar Kaabah sahaja. Boleh percaya ke?” tanya seorang pengguna kepada BACARIA. Justeru, berdasarkan aduan pengguna ini terhadap penjualan air zam-zam yang meragukan, dijual semakin berleluasa dan kini boleh didapati dengan mudah, wartawan BACARIA, IZRA ABD RAHMAN DAN NOOR AZIANTY NORMAN telah membuat siasatan mengenai isu air zam-zam ini. Tulen atau tiruan? Turut menjadi persoalan adalah bolehkah air zam-zam ini dijual?

Pengguna keliru asli atau tiruan Air Zam-Zam pelbagai jenama


SHAH ALAM: Dahulu peluang minum air zam-zam hanya ada apabila saudaramara atau rakan taulan yang dijemput menjadi ‘tetamu’ Allah di Mekah membawanya pulang ke tanah air. Namun kini, peluang untuk minum air paling berkhasiat di dunia ini semakin terbuka luas untuk sesiapa sahaja kerana ia boleh didapati dengan begitu mudah sekali. Perkembangan ini mungkin menggembirakan mereka yang terdesak untuk mendapatkan air zam-zam ini untuk tujuan tertentu walaupun ada antaranya dijual dengan harga yang tak keterlaluan dikatakan sebagai ‘cekik darah’. Namun, tak kurang juga pengguna yang merasa was-was akan keaslian, kesucian dan kebersihan air yang sememangnya suci ini memandangkan semakin banyak pihak yang berani meraih keuntungan dengan menjual air yang tinggi kandungan mineralnya ini. BACARIA turut menerima beberapa aduan berhubung isu ini. Selepas tinjauan dibuat, memang jelas menunjukkan banyak air zamzam yang dijual dalam botol pelbagai bentuk dan saiz di premis tertentu di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang. Melihat air suci ini dijual begitu berleluasa di merata-rata tempat, maka ramailah yang terfikir apakah air zam-zam ini begitu mudah dibawa keluar dari Tanah Suci Mekah sehingga ia boleh diperdagangkan sesuka hati di seluruh dunia, termasuklah di negara kita. . Malahan, sesetengah air zam-zam yang dijual terus meninggalkan misteri dan tanda tanya terutama bagi masyarakat Islam yang begitu teliti dan sensitif terhadap isu kepenggunaan dan keagamaan. Lebih menimbulkan tanda tanya, apabila ada pengedar yang tergamak menjualnya pada harga yang amat tinggi sedangkan kuantitinya amat sedikit. Cara pembungkusannya pula terlalu ringkas, hanya tertera tulisan ‘Air Zam-Zam’ sambil dihiasi gambar Kaabah, itu pun cuma tinggal bumbungnya sahaja kerana gambarnya telah dipotong separuh. Tidak tertera asal-usul dan ramuan air zam-zam pada botolnya, sudah tentu boleh dimaafkan kerana masyarakat Islam di seluruh dunia tahu bahawa ianya air mukjizat dari Allah untuk umat- Nya di seluruh dunia yang diberikan secara percuma. Namun, jika nama syarikat dan alamat syarikat pengedar langsung tidak dicetak pada label dibotolnya, adakah ia dapat dimaafkan? Siapa dan pihak mana yang bertanggung jawab terhadap air yang diisytiharkan sebagai air zam-zam ini? Hal inilah yang membuatkan timbul syak di hati pengguna, adakah air yang dilabelkan sebagai air zam-zam itu benar-benar air suci yang dibawa dari Tanah Suci Mekah? Jika benar, mengapa disembunyikan nama syarikat yang mengedarnya? Mungkin juga air yang kononnya dikatakan air zam-zam itu hanyalah air paip atau air mineral biasa kerana pengguna hanya dapat merasa dan memastikan ianya benar air zam-zam hanya selepas mereka membeli dan membayarnya. Dan yang paling ditakuti sekali jika ada pihak tidak bertanggung jawab mempunyai muslihat tertentu.
Category:
��
17.50 | Posted in

Hati Cheryl sudah dimiliki

DIA bersih daripada sebarang gosip. Jauh sekali terjebak dalam kancah kontroversi seperti mana yang dilalui rakan artis yang lain. Namun, itu tidak bererti dia kalah dari segi publisiti yang diraih. Nama Cheryl Samad tetap setia meniti di bibir para peminat seni tanah air.

Bukan sahaja membina nama di bidang pengacaraan yang sekian lama menjadi kecenderungannya, tetapi juga bidang lakonan juga nyanyian yang baru diceburinya.

Ditanya bagaimana dia menjaga dirinya daripada terpalit gosip, gadis yang terkenal dengan kepetahan bercakapnya ini hanya tertawa kecil. Mahu berlaku jujur dalam menuturkan jawapan, Cheryl cuba mencari jawapan terbaik.

“Tiada gosip kerana tiada apa yang mahu digosipkan tentang saya. Saya tak mengelakkan apaapa, saya menjalani kehidupan seperti biasa. Cuma mungkin kehidupan seharian saya itu tiada apa yang boleh disensasikan dalam bentuk gosip. Saya tidak ke kelab dan saya juga tidak terlibat dengan sebarang skandal,” jawab Cheryl ringkas tetapi penuh makna.

Bagaimanapun, bekas graduan jurusan undangundang lulusan Universiti Malaya ini tidak menyembunyikan status dirinya. Mengakui hatinya telah dimiliki dan kini selesa dengan apa yang dikecapnya, Cheryl rupa-rupanya lebih selesa memilih pasangan daripada kalangan orang biasa sahaja.

“Memang setiap hari saya berjumpa dengan ramai orang daripada pelbagai lapisan masyarakat, tetapi mungkin saya lebih selesa dengan berkawan dengan orang biasa sahaja. Teman (istimewa) saya sekarang ni pun adalah orang biasa sahaja. Dia orang seni juga tetapi kerjanya lebih kepada belakang tabir.

“Alhamdulillah, setakat ini hubungan kami berjalan dengan baik. Kami selalu jumpa tetapi tidaklah sekerap pasangan lainlah kerana masingmasing sibuk dengan kerja. Kahwin? Tentulah akan ke arah itu juga tetapi bagilah saya masa untuk mengukuhkan kerjaya dulu,” sambung sahabat baik pelakon Fazura ini lagi berterus-terang.
Category:
��
17.48 | Posted in

Bisnes di rumah menguntungkan

KERJAYANYA dalam bidang IT tidak menghalang Norazlinda Mohd Nor untuk melaksanakan minatnya ke arah yang lebih komersial. Biarpun terpaksa bijak membahagikan masa antara kerjaya dan minat, namun Norazlinda tidak pernah jemu dengan apa yang dilakukannya setiap hari.

Jika bukan kerana minat, mungkin sukar untuk seseorang melakukan kerja seni yang remeh ditambah pula dengan keletihan bekerja seharian di pejabat. Berlainan dengan Norazlinda, kerja-kerja memintal bunga untuk hantaran sudah sebati dengan jiwa hinggakan jika tidak dilakukan akan menimbulkan perasaan gelisah buat dirinya.

“Dulu saya buat sekadar ingin mengisi masa lapang sahaja. Tak pernah terlintas pun nak bergiat aktif dalam bisnes ini. Bila ada kawan yang ingin bertunang atau berkahwin, saya tolong la. Tapi apabila melihat sambutan yang diterima amat menggalakkan, ianya membuatkan saya terfi kir bisnes ini sebenarnya menguntungkan.

“Pada bulan Disember 2007, saya mula menjalankan bisnes ini secara serius dengan menggunakan nama Nazurin Creation. Walaupun hanya menjalankan bisnes di rumah, namun ianya tidak menjejaskan bilangan pelanggan yang membuat tempahan,” katanya. Bercerita tentang penglibatannya dalam bidang ini, Norazlinda menerangkan kebolehan yang ada dalam dirinya untuk reka cipta gubahan hantaran serta pelbagai jenis bunga dulang hanya bergantung kepada minat sahaja kerana sebelum ini dia tidak pernah menghadiri mana-mana kursus seni dan kreativiti.

“Saya memang suka tengok benda-benda yang cantik dan unik. Kalau dulu, dengar sahaja kawan nak kahwin, saya yang jadi teruja. Tak sabar nak buatkan hantaran untuk mereka. Saya juga rajin membelek buku-buku yang berkaitan serta membuat tinjauan ke kedai-kedai yang menjual barangan hantaran bagi mendapatkan idea baru. Tak nak la nanti rekaan bunga yang saya buat ketinggalan zaman.

Ditanya mengenai cabaran yang dihadapinya sepanjang menjalankan bisnes ini, Norazlinda mengakui walaupun bisnesnya berjalan secara kecil-kecilan, dia tetap tidak terkecuali menerima dugaan. “Dalam bisnes pasti ada persaingan. Bagi saya, soal persaingan tu memang kita tak boleh nak elakkan lagi. Apa yang penting, cara kita atasi persaingan itu.

Kita kena bijak mengatur strategi serta memberi perkhidmatan terbaik untuk pelanggan. Jika pelanggan berpuas hati, mereka secara tidak langsung akan membantu kita melakukan promosi mulut ke mulut. “Selain itu, pernah juga saya mendapat pelanggan yang ingin menukar warna tema hantaran yang ditempah di saat-saat akhir.

Bila kita berhadapan dengan situasi seperti ini, jangan cepat melatah. Bincang elok-elok dengan pelanggan dan nyatakan kesulitan yang kita alami jika mereka ingin menukar warna hantaran tersebut. Insya-Allah mereka akan faham,” katanya yang turut dibantu oleh ibunya, Raslaini Mat Jan dan adiknya, Noredayu Mohd Nor.
Category:
��