11.27 | Posted in
Panduan menaik taraf memori notebook

Desakan semasa, mampu mendorong anda untuk menambah atau menaik taraf memori notebook yang sedia ada. Jika tugas ini dirasakan sukar, anda boleh menyerahkannya kepada juruteknik di kedai komputer. Atau, anda hendak melakukannya sendiri dengan berbekalkan sedikit ilmu dan panduan yang tersiar di sini.

Sesetengah pengguna gagal membuat pilihan yang tepat ketika mereka membeli notebook. Ketika membuat keputusan pembelian, faktor tertentu mungkin mempengaruhi mereka. Contohnya bajet mereka terlalu ketat sehingga hasrat untuk mendapatkan lebih banyak memori tidak kesampaian. Namun setelah berbulan-bulan mereka menggunakan notebook tersebut, barulah mereka sedar bahawa memori tidak mencukupi. Akhirnya mereka terpaksa juga keluar bajet jika ingin menaik taraf kapasiti memori yang sedia ada. Bukan itu sahaja, mereka akan berdepan dengan cabarannya (yang memberi pengalaman) jika hendak melakukannya sendiri.

Masalah memori tidak cukup mungkin terasa apabila anda hendak menukar sistem operasi (OS), contohnya dari Windows XP ke Vista. Jika tidak menukar OS, anda mungkin memasang banyak perisian atau perisian yang berat-berat. Tambah pula, fungsi grafik sesetengah notebook memerlukan sebahagian memori sistem untuk beroperasi. Apa yang pasti, kapasiti memori perlu selari dengan keperluan semasa anda. Berdasarkan keperluan hari ini, memori sebanyak 1GB adalah minimum. Kalau boleh, dapatkan kapasiti optimum (2GB hingga 3GB) untuk menampung keperluan semasa anda. Atau lebih baik lagi cuba dapatkan sehingga 4GB.


Jenis dan kelajuan memori

Sistem memori yang melengkapi notebook banyak persamaannya dengan sistem memori yang melengkapi PC. Antaranya, anda diberi peluang untuk menaik taraf kapasiti memorinya atau menukar modul lama (atau sudah rosak) dengan yang baru. Ini boleh dilakukan kerana kebanyakan notebook dilengkapi dua slot untuk menempatkan modul memorinya. Cuma reka bentuknya lebih kecil dan dikenali sebagai SO-DIMM (Small Outline Dual in Line Memory Module). Selain itu ruang untuk menempatkan slot dan kepingan memorinya juga kecil dan sempit. Ini merupakan antara cabaran, apabila anda berhasrat menaik taraf memori notebook.

Majoriti notebook hari ini menggunakan memori jenis DDR2, tetapi sejumlah notebook baru menggunakan jenis DDR3. Selain mengetahui jenis memori yang dipasang dalam notebook, anda juga patut mengetahui kelajuan jam (clock) dan lebar jalurnya kerana faktor ini boleh mempengaruhi prestasi notebook. Terdapat dua format yang memberitahu kelajuan sesuatu memori. Format pertama mencantumkan jenis dan kelajuan jamnya seperti DDR2 400. Format kedua mencantumkan jenis dan lebar jalurnya (bandwidth) seperti PC2-3200. Contohnya DDR2 400 atau PC2-3200 adalah merujuk kepada modul yang sama (sila rujuk Jadual 1).

Selain mengetahui jenis memori (seperti DDR2/DDR3) dan kelajuan yang diperlukan, anda juga perlu tahu jumlah modul yang sedang digunakan, dan kapasiti maksimum setiap modul yang disokong notebook anda. Maklumat seperti ini boleh membantu anda merancang pembelian modul memori dengan lebih tepat. Anda boleh menemui maklumat ini dalam manual, dengan mengeluarkan modul yang sedia ada untuk dikaji, atau ‘menyiasat’ menggunakan perisian Everest Home Edition 2.2, CPU-Z 1.5, Auslogics System Information 1.2, dan HWM BackBox 1.0. Cara penggunaan perisian ini sudah tersiar dalam Majalah PC yang terdahulu.

Apabila notebook diterbalikkan, anda boleh melihat pintu kecil untuk mengakses modul memorinya. Pintu ini juga memudahkan anda menaik taraf memori atau memasangnya sendiri. Jika pintu ini tidak disediakan, maka bantuan juruteknik diperlukan untuk memasang memori. Khidmat mereka lazimnya dikenakan upah dan ini mungkin menjadi kos tambahan jika anda berhasrat menaik taraf memori. Contohnya, jika notebook dibawa ke kedai, anda terpaksa menunggu giliran sebelum siap dinaik taraf. Prosesnya mungkin lebih cepat jika anda memasang sendiri. Cuma jaminannya mungkin lupus, jika dibuka sendiri dalam tempoh jaminan.

Biasanya notebook dilengkapi dua slot untuk menempatkan modul memori, sedangkan ada dua atau empat slot pada PC dekstop. Ini bermakna, peluang anda untuk menambah kapasiti memori yang sedia ada dalam notebook agak terhad. Namun, apabila teknologi memori notebook hari ini semakin maju, maka batasan ini boleh ditangani. Malah sebuah notebook masa kini boleh menampung kapasiti memori hingga 4GB dengan dua modul yang setiap satu berkapasiti 2GB. Namun ada notebook peringkat rendah yang hanya dilengkapi satu modul memori yang tidak boleh ditokok tambah. Jadi pastikan memori notebook anda boleh ditambah.



Sila dapatkan Majalah PC Mei 2009 di pasaran - untuk artikel sepenuhnya...

Category:
��

Comments

0 responses to "Mahir IT"